Kontroversi Pinjaman koperasi

Bukan semua pihak bersetuju dengan amalan pemberian kredit mudah oleh koperasi kepada anggota-anggota mereka. Antara pengkritik yang paling vokal adalah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Menurut mereka, kemudahan kredit mudah tersebut menggalakkan penjawat awam memohon pinjaman dan justeru ramai dibebankan dengan hutang jangka panjang.[13]

Tempoh Pinjaman Terlalu Lama

Sebelum tahun 2013, skim pinjaman koperasi mempunyai tempoh maksima yang sangat lama iaitu 25 tahun. Dengan tempoh yang lebih lama untuk membayar hutang, ansuran bulanan akan menjadi lebih rendah. Ini bermakna pemohon boleh meminjam jumlah yang lebih tinggi. Pada bulan Jun, 2013, dalam usaha untuk mengekang peningkatan hutang isi rumah, Bank Negara menghadkan semua pinjaman peribadi kepada tempoh maksimum 10 tahun.[14][15]

Peraturan ini berjaya mengurangkan jumlah pinjaman yang diluluskan oleh koperasi dan ini menyebabkan koperasi-koperasi dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah keputusan Bank Negara tersebut. [16]Menurut Cuepacs, had tempoh 10 tahun adalah terlalu singkat dan akan menyebabkan kakitangan kerajaan yang gagal dapat pinjaman meminjam daripada ah long. Mereka mencadangkan tempoh 10 tahun dilanjutkan kepada 15 tahun. [17]Walaubagaimanapun, tempoh pinjaman maksimum 10 tahun kekal sehingga hari ini.[18]

Skim Ala Ah Long

Sesetengah koperasi didapati menyalahgunakan hak memberi kemudahan kredit dan menjalankan skim pinjaman ala ah long dengan faedah yang sangat tinggi. Pada bulan Ogos 2016, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengarahkan penutupan 12 koperasi yang didapati menjalankan skim pinjaman dengan penglibatan ah long. [19]Menteri kementerian KPDNKK, Datuk Hamzah, mengumumkan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk memperkasakan Akta Koperasi 1993 demi mengawal selia aktiviti hampir 13,000 koperasi yang berdaftar di seluruh negara.[20]

Kadar Sebenar Sangat Tinggi

Satu lagi kritikan adalah berkenaan kos sebenar pinjaman. Sebelum 2012, kadar untung pinjaman koperasi adalah sekitar 10% setahun dikira berdasarkan kadar tetap. Peminjam hanya menerima 81% daripada jumlah pinjaman selepas 19% ditolak untuk pelbagai yuran dan perbelanjaan termasuk komisen kepada agen. Menurut CAP, sekiranya perkiraan tersebut berdasarkan kadar efektif ke atas jumlah bersih yang diterima oleh peminjam, maka kadar sebenar adalah 24% setahun.[21]